Saturday, June 28, 2008

Persandingan Mengikut Perspektif Islam

Persandingan mungkin suatu yang biasa kita dengar dan lihat. Namun, sedarkah kita tentang apa pandangan syarak terhadapnya? Mungkin ramai yang bersetuju pada teorinya…tetapi bila ketika praktikalnya, ramai yang kecundang..termasuklah Ustaz dan Ustazah (yang mengaji agama). Bila ditanya persoalan tu oleh seorang sahabat, saya rasa seperti diketuk kepala..tersedar banyaknya hukum kita ambil mudah..

setiap perbuatn kita tidak teliti soal hukum..apabila diselidiki, artikel ini mungkin dapat membantu dan membuka perbincangan..mudah-mudahan kita tidak terjebak ke landasan ciptaan syaitan yang inginkan menyesatkan manusia…

1. Definisi Persandingan: meletakkan suami-isteri yang baru dinikahkan di atas penganjangan (pelamin) dengan berhias indah, berpakaian lengkap, dikipas oleh dua jurukipas dan ditonton oleh orang ramai atau orang tertentu sahaja.

2. Tujuan: antara tujuan utama persandingan ialah untuk ditonton, menjadi kenangan bersejarah, meraikan peluang seumur hidup dan menghayati adat dan budaya nenek moyang.

3. Sejarah: ada dua teori dalam menjelaskan dari mana asalnya persandingan dalam adat Melayu. Pertama: bahawa persandingan adalah adat resam Melayu tulen. Ini kerana istilah raja sehari itu persis kepada adat istiadat Melayu yang berpaksikan raja (HM Sidin, Adat Resam Melayu, PAP, 1964)

Kedua: Persandingan adalah adat yang diimport dari India. De Jong (Religions in the Malay Archipelago, Oxford Univ. press, 1965) dan Joginder Singh (Tata Rakyat, Longman, 1978) berpendapat ia adalah pengaruh Hindu.

4. Unsur-unsur khurafat dalam persandingan:

(a) Penggunaan beras kunyit pada upacara persandingan ialah bertujuan memberi semangat kepada pengantin berdasarkan kekuningan semangat padi.

(b) Penggunaan jampi mentera untuk menghalau hantu syaitan yang mungkin mengganggu majlis itu.

Hukum Islam Terhadap Persandingan

1. Menabur Beras Kunyit: Jika ia ditabur dengan tujuan menambah semangat dan menghalau roh jahat, maka ia adalah syirik–bercanggah dengan surah al-Fatihah: ayat 5: Thee do we worship, and Thine aid we seek., dan Yunus: 107: If Allah do touch thee with hurt, there is none can remove it but He: if He do design some benefit for thee, there is none can keep back His favour: He causeth it to reach whomsoever of His servants He pleaseth. And He is the Oft-Forgiving, Most Merciful.



2. Membaca Jampi Mentera: Jika beriktikad bomoh atau pawang itu membaca jampi-mentera dengan tujuan dapat memelihara majlis itu daripada roh jahat, maka dia juga amalan syirik seperti yang dijelaskan di atas.

3. Berandam: Perbuatan andaman yang berbentuk “li tadlis” mengabui/merubah kecantikan yang sebenar adalah haram. Antaranya yang disebut oleh al-hadis: HR Muslim-Muslim dari Abdullah Ibn Mas’ud: “Allah melaknat wanita yang mencucuk tangan dan menaruh warna (tattoo) dan yang meminta berbuat demikian; wanita-wanita yang menghilangkan bulu kening di muka*, wanita yang mengikir gigi dan menjarangkannya supaya kelihatan cantik yang merubah kejadian Allah.” (*pengecualian: membuang bulu yang berupa janggut atau misai atau side-burn.)

4. Berhias untuk dipamerkan (tabarruj): Berhias dengan tujuan untuk dipamerkan kepada orang ramai adalah dilarang. Firman Allah (maksudnya), “Janganlah kamu bertabarruj seperti kelakuan orang zaman jahiliah dahulu.” (Al-Ahzab: 33)

5. Mengadakan kenduri walimah secara besar-besaran: Hukum sebenar kenduri kahwin ialah sunat sahaja sebagaimana sabda baginda: “Adakanlah kenduri kahwin walaupun hanya dengan seekor kambing.”

Islam mencela amalan boros: “Janganlah kamu membazir secara melampau.” (Maksud al-Isra’: 26)

6. Menjadikan hadiah atau pemberian wang sebagai satu kemestian: Ini berlawanan dengan roh Islam Firman Allah,” Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” (2: 286)

7. Mas kahwin dan hantaran yang mahal: Inilah adalah sunah Rasul saw: “Wanita yang paling berkat ialah wanita yang paling murah hantarannya.” (HR Ahmad, al-Hakim dan Baihaqi)

Demi meraikan adat: Islam membenarkan persandingan dengan meletakkan syarat:

1. Jika ia disandingkan secara tertutup (di hadapan muhrim atau keluarga terdekat) dan kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat.

2. Jika ingin melakukan secara terbuka diharuskan jika bertujuan iklan dan memperkenalkan mempelai kepada para jemputan dan kaum keluarga dengan syarat kesemua pihak baik pengantin dan para jemputan semua menutup aurat kecuali perhiasan yang biasa dilihat.

Rujukan
1. Prof Muhammad al-Ghazali, Laisa minal Islam.
2. Ibn Taymiyah, Hijab al Mar’ah wa Libasuha.
3. Prof Qardhawi, Fatwa Mu’asirat dan Halal & Haram fil Islam.

Artikel ini telah ditulis oleh Radzi Zawawi. Boleh lawati:
http://radzizawawi.wordpress.com/2007/11/24/hukum-bersanding-mengikut-perspektif-islam/
Minta komen dari pakar-pakar untuk diperbincangkan.

Thursday, June 26, 2008

Masjid untuk masyarakat, bukannya individu

Masjid selalu dikaitkan dengan konsep ibadat dan juga ritual solat atau sembahyang. Kali ini, saya akan memberi satu perspektif alternatif tentang tafsiran makna dan implikasinya terhadap peranan masjid dan konsep ibadat dalam Islam masa kini.

Masjid, seperti juga tugas dan tanggungjawab mukmin sejati, mempunyai peranan penting dalam perjuangan membangunkan Islam di peringkat komuniti setempat.

Berkenaan dengan solat pula, ia bukanlah suatu ritual meditasi individu tetapi memainkan peranan besar dalam interaksi masyarakat.

Pada peringkat masyarakat, solat dan masjid berperanan mengumpulkan jemaah Muslim bagi mengingatkan mereka terhadap tanggungjawab pembangunan masyarakat.

Solat individu lebih digalakkan di rumah daripada di masjid kerana ia berperanan memberi kekuatan semangat perjuangan melalui meditasi bersendirian secara beruzlah.

Masjid sering diperkatakan sebagai Rumah Ibadat atau dalam bahasa Inggerisnya a house of worship. Fahaman perkataan `ibadat’ dan worship yang biasa difahami adalah sebagai suatu set ritual tertentu seperti sembahyang dan menunaikan haji yang dibuat khusus bagi menyembah Tuhan.

Daripada ayat-ayat al-Qur’an dan hadis tersebut di atas bahawa tanggungjawab seorang Muslim adalah amat luas dan makna ibadat di dalam Islam jauh berbeza dengan pandangan yang sempit sebagai kegiatan ritualistik semata-mata.

Implikasi utama konsep ibadat sedemikian adalah masjid perlu berperanan lebih daripada hanya sebagai sebuah bangunan dan institusi ritual.

Masjid perlu berperanan proaktif dalam pembangunan masyarakat setempat. Maka itu perancangan ruang dan bahasa seni bina masjid perlu dibuat sebagai pusat komuniti yang aktif dan bukan bagaikan kuil atau biara yang sunyi sepi tempat orang beruzlah.

Peranan solat dan implikasinya terhadap konsep masjid.

Perkara pertama berkaitan solat dan masjid bahawa ada suatu anggapan bahawa masjid sebagai `rumah suci’ atau ikon yang mesti wujud kerana kepentingan atau kesuciannya sendiri.

Konsep `rumah suci’ atau objek suci wujud pada hampir semua agama. Konsep ini berlandaskan bahawa setiap penganut akan berasa lebih dekat dengan Tuhan jika sesuatu objek atau bangunan yang dibina untuk kegunaan Tuhan atau sebagai `wakil Tuhan’ wujud di kalangan mereka.

Bangunan atau objek suci juga wujud kerana perkaitan kedua-duanya dengan personaliti-personaliti agama tertentu. Biasanya tempat pertapaan atau makam seseorang `wali’ itu dijadikan tempat suci.

Umat Islam mempunyai tiga objek dan bangunan yang dianggap suci. Pertamanya, Ka’abah, kedua tapak Masjid-al-Aqsa dan ketiga Masjid Nabi Muhammad (s.a.w).

Itulah sebabnya beberapa pemikir Islam berpendapat bahawa masjid bukan tempat semata-mata untuk bersembahyang kerana ritual itu boleh dilakukan di mana-mana jua.

Hanya umat Islam membina masjid sebagai kemudahan berkumpul setempat untuk berinteraksi dan menunaikan sembahyang fardu berjemaah apabila masuk waktunya.

Ada juga anggapan bahawa masjid ialah tempat yang paling afdal untuk mengerjakan kesemua jenis sembahyang.

Sembahyang boleh bahagikan kepada dua jenis iaitu sembahyang berjemaah dan sembahyang individu. Sembahyang yang baik dilakukan berjemaah ialah sembahyang fardu lima waktu sehari, sembahyang Jumaat, sembahyang jenazah, sembahyang sunat Hari Raya, sembahyang sunat gerhana dan sembahyang sunat memohon meminta hujan. Contoh sembahyang individu adalah seperti sembahyang tahajud, sembahyang tasbih dan sembahyang sunat rawatib.

Sembahyang berjemaah lebih afdal dilakukan di masjid. Tetapi sembahyang sunat individu lebih afdal dilakukan di rumah-rumah seperti yang disebutkan Rasulullah dalam hadis-hadis berikut:

Rasulullah telah berkunjung ke Masjid Bani Abd al-Ashhal. Baginda bersolat maghrib di sana dan apabila baginda selesai sembahyang baginda melihat ramai para jemaah menunaikan solat Sunnat Rawatib. Baginda bersabda, Solat-solat ini sepatutnya dibuat di rumah kalian. (Sunan Abu Dawud)

Lakukan juga sembahyang-sembahyang kamu di rumah dan jangan dijadikan rumah kamu sebagai kubur. (Sahih Muslim)

Umat Islam digalakkan `memasjidkan’ rumah mereka dengan bersembahyang sunat agar ia tidak dianggap `mati’ dengan kejiwaan Islam. Rumah juga adalah tempat yang terasing daripada pandangan ramai. Dengan itu sembahyang sunat yang tidak menimbulkan perasaan menunjuk-nunjuk dapat menyucikan riak di hati.

Dapat difahami bahawa masjid bukan tempatnya Muslim bermunajat bersendirian tetapi tempat pertemuan masyarakat Islam melalui sembahyang berjemaah ataupun untuk aktiviti sosial yang lain.

Ciri-ciri pembinaan yang membuatkan seolah-olah masjid menjadi sebuah gereja atau `biara’ sunyi semestinya dielakkan.

Prof. Madya Dr. Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi ialah pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).