Segala sesuatu yang ditimpakan kepada kita sebenarnya tersimpan seribu satu hikmah yang sangat sukar diketahu oleh seseorang. Jika kehilangan wang puluhan ribu umpamanya, apakah wang kita tersebut benar-benar bersih seperti dengan mengeluarkan zakat dan bersedekah. Jika wang tersebut telah dikeluarkan hak orang lain seperti zakat dan sedekah namun masih ditipu oleh orang lain, kemungkinan itu dugaan daripada Allah, agar kita bersabar. Namun jika wang banyak tersebut tidak pernah dikeluarkan zakat ataupun sedekahnya akhirnya ditipu orang lain, kemungkinan juga ia merupakan peringatan, agar kita sentiasa mengingat Allah, dan agar kita mengetahui bahawa hak memberi rezeki itu hanya milik Allah. Sesungguhnya Allah untuk memberi kepada orang dikehendakinya dan mengambil kembali kepada orang yang dikehendakinya pula.
Sedangkan rasa sakit yang ditimpakan kepada tubuh kita itu juga merupakan dugaan dan rahmat daripada Allah agar kita dapat menghisab ataupun muhasabah diri bahawa nikmat sihat dan sakit itu hanya Allah SWT yang berhak memberinya. Suatu hari isteri nabi Ayub menyuruh agar nabi Ayub berdoa kepada Allah supaya penyakit tersebut disembuhkan olehNya. Namun nabi Ayub bertanya, "berapa tahunkah aku sakit ?". Isterinya menjawab, "sembilan tahun". Kemudian nabi Ayub bertanya lagi. "berapa tahunkah aku sihat". Isterinya menjawab: "Lapan puluh tahun". Maka nabi Ayub menjawab; Aku telah menikmati kesihatan lapan puluh tahun, sedangkan aku sakit baru sembilan tahun, jadi sesungguhnya aku malu dengan Allah SWT". Jadi janganlah mengeluh dengan penyakit yang ditimpakan Allah kepada kita, kerana didalam penyakit yang diberikan itu tersimpah beribu hikmah yang hanya Allah saja mengetahuinya.
Selaku hamba yang mempercayai kebesaran dan keagunganNya banyakkanlah beramal dan berdoalah dengan rasa harap dan takut, iaitu mengharap keberkatan dan rahmatNya dan merasa takut dengan ditoloknya permohonan tersebut. Berdoalah dengan memenuhi syarat dan adabnya agar doa kita itu dikabulkan Allah SWT. Hindarilah perasaan putus asa yang menyebabkan kita menjadi insan yang merugi dan akan tergolong ke dalam orang-orang ingkar.Wallahu A'lam.
No comments:
Post a Comment