Doa adalah satu ibadah. Ia merupakan salah satu tanda kerendahan diri hamba terhadap Tuhannya. Ia boleh dilakukan secara individu atau berkumpulan. Sesuatu ibadah itu hendaklah dilakukan dengan ikhlas, khusyuk, penuh tawaduk dan tertib.
Dengan demikian, ia mesti dilakukan dengan cara yang sesuai dengan kehendak syarak. Ini bermakna doa tidak boleh dilakukan sebagai suatu acara kebudayaan atau adat yang bertentangan dengan ruh ibadah dan rasa tawaduk kepada Allah s.w.t. Sebagai suatu ibadah, doa hendaklah dilakukan pada masa yang sesuai, pada suasana yang baik dan dilakukan di tempat yang betul.
Pengertian Doa
Dari segi bahasa perkataan "doa" bererti panggilan atau meminta pertolongan, lebih difahami sebagai permohonan dari seorang hamba kepada Alah s.w.t untuk menunaikan hajatnya.
Di dalam Al-Quran banyak perkataan doa yang mempunyai pengertian dan makna tertentu di antaranya :
a. | Dengan makna "ibadat" sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud, " Dan janganlah Kamu berdoa kepada selain Allah s.w.t, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepada kamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu". ( Yunus, 106) |
b. | Dengan makna "memuji" seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud, " Katakan olehmu wahai Muhammad s.a.w, berdoalah (pujilah) akan Allah s.w.t atau mendoalah (pujilah) akan Ar-Rahman". (Isra', 110) |
c. | Dengan makna memohon bantuan atau pertolongan seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud, " Dan berdoalah kamu (minta bantuan) kepada orang-orang yang dapat membantumu". |
d. | Dengan makna " permintaan" seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud, "Mintalah kamu kepadaku, Aku perkenankan permintaan kamu itu". ( Al-Mukmin, 60) |
Berdasarkan kepada pengertian doa yang tersebut di atas dapat disimpulkan bahawa doa ialah "melahirkan rasa rendah diri dan tunduk kepada Allah s.w.t serta menyatakan hajat atau permohonan yang dikehendaki".
Tujuan Dan Adab Berdoa
Setiap doa yang hendak dibaca hendaklah mempunyai sifat dan tujuan yang baik. Doa yang diucapkan sebaik-baiknya hendaklah dalam keadaan dan cara seperti berikut.
» | Mengetahui tujuan berdoa atau apa yang hendak dipohon dari Allah s.w.t. |
» | Doa dibaca dengan betul dan tepat sebutan mahrajnya. |
» | Doa dibaca dengan suara yang jelas dan sederhana ( tidak terlalu laju). |
» | Doa dibaca dengan suara yang sesuai ( tidak terlalu kuat dan sebaliknya). |
» | Doa dibaca dengan penuh rasa khusyuk dan tawaduk kepada Allah s.w.t. |
No comments:
Post a Comment