Sunday, June 15, 2008

KELEBIHAN SAF PERTAMA

Dalam beberapa hadis ada menyebutkan kelebihan atau fadhilat saf yang pertama itu, di mana jika mereka mengetahui akan kelebihannya, nescaya mereka akan berebut-rebut untuk mendapatkannya sehingga terpaksa diadakan undian. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:

“Andaikata mereka tahu apa yang ada di dalam saf yang depan, nescaya akan di adakan undian”.

(Hadis riwayat Muslim)

Sabda Baginda lagi yang maksudnya :

“Andaikata orang-orang tahu apa yang terdapat di dalam azan dan saf pertama, kemudian mereka tidak mendapatkannya kecuali dengan cara berundi di antara mereka, pasti mereka mahu mengundinya. Andaikata mereka tahu apa yang terdapat di dalam hal melakukan sembahyang, pasti mereka berlumba-lumba mendapatkannya. Andaikata mereka tahu apa yang terdapat di dalam sembahyang Isya dan Subuh, pasti mereka akan mendatanginya meskipun dengan merangkak”.

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain sabda Baginda yang maksudnya :

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya mengucapkan selawat (selawat Allah: rahmat dan selawat malaikat: istighfar) terhadap makmum-makmum di baris pertama”.

(Hadis riwayat Abu Daud dan Nasa’i)

Sepakat para fuqaha bahawa saf yang afdhal atau lebih utama bagi lelaki sama ada bersama mereka kanak-kanak atau perempuan adalah saf yang pertama. Begitu juga bagi perempuan yang tidak bersama mereka makmum lelaki atau berjemaah bersama dengan lelaki tetapi ada penghalang atau tabir antara keduanya, maka yang afdhalnya di saf yang pertama. Akan tetapi jika perempuan itu berjemaah bersama dengan lelaki tanpa ada penghalang atau tabir, maka yang afdhal atau lebih utama bagi perempuan itu saf yang terakhir, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

"Sebaik-baik saf bagi lelaki adalah saf yang pertama, dan sejelik-jeliknya ialah saf yang terakhir. Sebaik-baik saf bagi wanita adalah saf yang paling belakang, dan sejelik-jeliknya ialah saf yang pertama”.

(Hadis riwayat Muslim)

Di antara kelebihan-kelebihan yang ada di dalam saf juga ialah mengambil tempat dalam kedudukan di sebelah kanan imam lebih afdhal atau utama daripada kedudukan sebelah kiri imam. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

“Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengucapkan selawat kepada makmum di saf-saf kanan”.

(Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

No comments: